Isnin, 12 Julai 2010

Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh

Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...


***************************



Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.

Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”

Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”

Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”

Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”

Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:

“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”

Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”

Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”

Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.


-Ibtihaj-

Continue lendo >>

Rabu, 7 Julai 2010

MURABBI BUKAN SELEBRITI !

alfaqir_ilallah: salam ziarah... lama tak update.. akhirnya, baru ana mengerti siapa tuan blog ni.. Puzzle tercantum!

Rais: Penasaran dengan pemilik blog ini. Siapakah gerangan Saudari Ibtihaj ini?

affan: ehem2, cik HAJAR n cik wardah, ana kira ana jga knl blogger nie...

H A J A R: ehem2, cik wardah,,saya pun knl juga blogger ni,,org yg sangat dekat dgn kita=)

wardah: salam..ehem2 mcm knal blogger ni =)


*******

Untuk menjawab teka-teki di atas, Ibtihaj tercari-cari apakah jawapan yang sesuai bagi meluahkan apa yang bersarang dalam hati. Subhanallah, ketika membaca buku "Nota Hati Seorang Lelaki" oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi, hadiah seorang sahabat, Ibtihaj menemui Nota ke-35 : Kau Murabbi Bukan Selebriti!

Memetik antara kata-kata yang mendalam maknanya :
" Jangan menulis 'diri' sendiri. Orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang orang lain. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri. "

" Pendakwah atau penulis, mesti mengetengahkan prinsip da'wah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. "

" Pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti! "

*****

Walaubagaimanapun, Ibtihaj hanyalah seorang manusia biasa yang dalam usaha memperbaiki dirinya. Dalam usaha itu, ada tanggungjawab sebagai hamba yang mesti dilaksanakannya!

Continue lendo >>

Ahad, 4 Julai 2010

NOKTAH SYUKUR...

Kelana Sang Pengembara
Kembaranya
Tiada sunyi dari onar
Tubuhnya
Diulit ribuan calar
Kepalanya
Walau berpinar
Langkah tetap disasar
Kerna pengembaraan baginya
Medan juang sebenar

Tika di persimpangan,
Dilema pengembara
Hala tuju mana pilihannya
Denai pilihan banyak manusia?
Ditaburi bungaan aneka warna...
Dihiasi nikmat indah tarikannya?
Ataukah lorong kelam
Dilitupi dedaun kering cuma?
Dihiasi kawat besi gerun kelihatannya?

Sang Pengembara
Meluruskan hati
Kukuh pada Ilahi
Lorong sepi segera disusuri
Berbaik sangka pada Ilahi
Pasti janjiNya tiada dimungkiri.

Langkah demi langkah
Cukuplah Allah segala-galanya
Mungkin jelek pada pandangan manusia
Mungkin dangkal di akal manusia
Biarlah
Asal bukan di sisi Yang Esa.

Lantas,
Hati membulat tekad,
Nafsu ditepis berpencak silat
RedhaNya semata
Sang Pengembara memurnikan hajat

Sang Pengembara akhirnya
Hampir lelah menahan kudrat
Namun,
Kekal syukur menjadi azimat
Kekal redha perawat erat
Lalu,
Rasa kerdil diri makin menghambat...
Hina diri, pada Ilahi sembah merapat

Nah!
Rupanya Sang Pengembara diuji
Andai terburu2 tewaslah dirinya!
Kejutan tidak mampu dijangka
RencanaNya nyata bijaksana
JanjiNya segera dilaksana!

Syukur Sang Pengembara
mengalir deras tiada henti
Indah aturan Pencipta
Mempesona jiwa
Kerdil jiwa seorang hamba

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Segala Puji hanya bagi Allah
Moga Sang Pengembara
dikurnia kekuatan
melaksanakan ketaatan,
meninggalkan kejahatan,
menyeru kebaikan,
mencegah kemungkaran...

Anugerah yang sukar diungkap
Moga Sang Pengembara sentiasa SYUKUR!
Dipelihara dari FUJUR
Mahupun KUFUR
Menerus kembara ke Alam Kubur
Sungguh tiada noktah bagi SYUKUR
Moga Istiqamah sentiasa dilabur
Selamat diri daripada FUTUR!





Nukilan Sukma,
Ibtihaj

Continue lendo >>






  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo