Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh
Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...
***************************
Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.
Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”
Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”
Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”
Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”
Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:
“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”
Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”
Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”
Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.
-Ibtihaj-