Isnin, 12 Julai 2010

Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh

Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...


***************************



Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.

Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”

Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”

Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”

Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”

Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:

“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”

Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”

Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”

Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.


-Ibtihaj-

2 ulasan:

Qis widad berkata...

tertarik dengan entry terbaru ibtihaj ni krn itulah realiti yang berlaku..

walaupon telah d didik dgn ilmu n kefahaman agama sejak kecil..n sentiasa d beri peringatan..akan tetapi apabila d lepaskan dr pantauan ibubapa n berakhirnya persekolahan menuju ke peringkat or tahap seterusnya, kekadang tanpa d sedari kita tersalah langkah kerana terpengaruh dengan persekitaran baru n terkeliru. kerana terlampau byk fahaman2 n pandangan2 y berbeda d perolehi, pengaruh kwn, sistem pembelajaran y x "islamic", sehingga menyebabkan kita terkeliru dgn fahaman y kita pegang sblm ni. akhirnya..tanpa kita sedar, kita telah terikut dgn keadaan semasa itu.

andai kita sedar tp x berbuat apa2 utk kembali ke jln y "benar"..pasti akhirnya perkara tersebut menjadi suatu kebiasaan bg kita sehingga x merasakan sesuatu y slh itu..salah.

fitrah manusia tetap inginkan kebaikan..kekadang hati ingin berubah menjadi lebih baik, lebih soleh, lebih taat pd ALLAH n jauh dr kemaksiatan tetapi x berbuat..hanya perasaan hati saja tanpa tindakan. kerana itu, mgkn ujian dr ALLAH mampu mendekatkan kita kembali padaNYA n bertindak utk berbuat.

apa2 pon..sandarkan segala harapan hanya pd ALLAH bkn pd manusia, pasti kita x akan kecewa. hidayah n taufiq itu milik ALLAH tetapi kita sbg manusia kena usaha mencarinya.

smg shbt2 semua dpt tetap istiqamah dlm menyuruh kpd kebaikan n mencegah kemungkaran..

Ibtihaj berkata...

Assalamu'alaikum, Qis Widad. Semoga sentiasa dalam limpah rahmat dan kasih sayangNya.

Jazakillahu khairan kathira atas kesudian berkongsi rasa :)Alhamdulillah, sewajarnya kita sentiasa bersyukur kerana masih dikurniakan hati yang masih ingat padaNya walaupun adakalanya lalai dan alpa.Berterima kasihlah padaNYA kerana masih diberi ni'mat Iman dan Islam.

Bersyukur itu bukanlah setakat ucapan pada bibir, malahan ia terbit dari hati yg penuh sedar dan insaf, lantas mengalir pada tindak tanduk dan perbuatan. Kita sebagai hambaNYA yang amat lemah dan hina sebenarnya tidak memiliki apa2 melainkan semuanya adalah pinjaman belaka.
Ni'mat yang pelbagai di sekeliling kita tidak lain hanyalah sebagai wasilah ( medium ) untuk memperoleh redhaNYA.

Mudahan kita semua sentiasa dibekali hidayah dan 'inayahNYA.
اللهم أَرِنا الحقّ حقاً وارْزُقْنا اتِّبَاعة
وأَرِنا الْبَاطِل باَطِلاً وارْزُقْنا اجْتِنَابَه

" Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu benar dan berilah kami (rezeki) untuk mengikutinya serta perlihatkanlah kepada kami kebatilan itu batil dan berilah kami (rezeki) untuk menghindarinya. " Amin.

Catat Ulasan







  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo