Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan

Isnin, 24 Januari 2011

Apabila yang haram menjadi kemestian ...

Kisah benar yang disunting...:)
Pada suatu hari, di sebuah lokasi misteri, pada hari yang dijanji ...

AB : CD, kami ni runsing betul...kawan2 semua dah ber'makwe' 'pakwe'...pantang berbual, topik yang ditanya mesti ada kena mengena..." awak ni belum ada sesiapa lg ke? "takkan la gadis comel lote macam awak ni takde sesiapa yg berkenan...?"

EF : Ha a la CD...lebih2 lagi ada yg guna macam2 hujah...konfius juga dibuatnya!

GH : Mana taknya...ada yang menjadikan kata tokoh2 tertentu sebagai hujah...tidak ketinggalan ada pensyarah yang menggalakkan...mereka ni bukan calang-calang orang CD...

CD : Cuba terangkan bagaimana hujah yang dikatakan ?

EF : Hmm...ada yg bercerita tentang kisah mereka sebelum berkahwin la...ada yang asyik menyuruh kami mencari pasangan ketika di universiti...bimbang peluang tiada apabila selesai belajar nanti...

GH : Kadang2 tergugat juga perasaan kami ni CD...apatah lagi suasana dan orang-orang di sekitar kami sudah mula terjerat dan seakan-akan ingin menjerat kami sekali...

CD : Beginilah AB, EF, GH...CD bukanlah yang selayaknya utk berdebat dlm perkara ni. Tetapi apa yg CD pegang dan yakin, ALLAH adalah segalanya! Tidak yakinkah kita dengan janjiNya ?!Ragu-ragukah kita dengan ketentuannya?! Apakah kita mesti mengikut arus semasa meskipun kita akur kelemahan diri ? Kuat benarkah kita apabila sengaja terjun ke dalam jurang...yang berisiko tinggi menghanyutkan kita ?!

AB : Apa yang mesti kami lakukan CD ?

CD : CD faham...memang ini fitrah kita sebagai manusia. Fitrah ini tidak dapat ditolak dan disangkal...namun, kita sebagai seorang yang mengaku muslim atau muslimah , tidak boleh sama seperti orang lain. Kita mesti ada 'izzah diri sebagai seorang muslim! Kita lain dari yang lain! Tidak semestinya apa yang dilalui oleh kebanyakan orang itulah yang betul...Yakinlah bahawa Allah adalah segala2nya. Dia ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya...Sampai satu ketika, ujian itu juga menguji kita redhakah kita pd setiap aturanNYA?! Ya Allah, percayalah...apabila kita bersabar dan bersabar...berfikiran positif terhadapNya dan redha akan apa sahaja ketentuannya, pada saat itu kita akan merasakan kasih sayangNYA yang begitu mencurah-curah...Bersabarlah demi meraih redhaNya!

CD melanjutkan bicaranya, ada air yang bergenang di kolam matanya...

CD : Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya! Berdoalah dan beristikharahlah...mudahan petunjuknya sentiasa mengiringi setiap langkah kita. Buat masa ini, kita persiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan bekalan. Cintailah ilmu, hiasilah diri dengan akhlak mulia, sertailah para pejuang agama...Agar kelak apabila tiba2 kamu didatangi anugerah yang tidak disangka2, mudah sahaja jalannya! :)

AB,EF,GH menganggukkan kepala. Ada kepuasan terpancar, ada kekusutan yang terlerai, ada semangat yang membara...Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu tetap benar dan perlihatkanlah kami yang batil itu tetap batil. AMIN.

Continue lendo >>

Isnin, 12 Julai 2010

Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh

Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...


***************************



Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.

Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”

Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”

Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”

Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”

Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:

“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”

Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”

Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”

Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.


-Ibtihaj-

Continue lendo >>

Isnin, 22 Februari 2010

Dekati remaja secara mesra

Ibtihaj ingin berkongsi emel yang yang diperoleh...

sumber : utusan

Dekati remaja secara mesra
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah luas dan indah jika umat Islam menghayatinya. Perpecahan umat akibat perbezaan ideologi politik semakin hari kian ketara. Suasana begini bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam, malah ia juga boleh menggugat struktur sosial masyarakat Islam yang amat prihatin terhadap konsep kasih sayang dan tali persaudaraan yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.

Pengalaman penulis bertemu bual dengan remaja yang berkeliaran di waktu malam di daerah yang agak terpinggir dari ibu kota tiga tahun lalu memberi keinsafan kepada penulis bahawa golongan remaja sama ada dibesarkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar menghadapi ketandusan jiwa. Mereka tidak memahami matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Ramai daripada golongan remaja ini lebih gemar menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menyeronokkan. Dosa dan pahala bukan merupakan nilai dalam kehidupan seharian mereka.

Sikap keterbukaan mereka meluahkan perasaan dan pandangan mengenai kehidupan jelas menunjukkan bahawa remaja dalam golongan ini merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan. Berdasarkan suasana di mana ramai golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat dan pembunuhan bayi, maka setiap individu Islam perlu merenung dan mempersoalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.

Islam menggariskan pelbagai aspek berkaitan dengan konsep kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab individu terhadap individu lain. Islam mendidik umatnya supaya menyemarakkan prinsip kasih sayang sesama umat dan manusia. Orang dewasa perlu dihormati dan orang muda perlu disayangi. Konsep kehidupan begini menyerapi hati nurani umat Islam sehingga mereka merasai bahawa setiap remaja dan kanak-kanak di sekeliling mereka adalah anak mereka. Oleh itu, mereka tidak khuatir untuk menegur dan menasihati serta mencegah remaja daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka.

Semangat kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan masa depan umat Islam. Dalam suasana begini, sepatutnya orang dewasa perlu menumpukan perhatian kepada golongan remaja dengan menggunakan sedikit masa lapang untuk berbual dan beramah mesra dengan remaja yang berada di kawasan mereka.

Remaja diibaratkan seperti kain putih yang mana minda dan hati nurani mereka mudah dibentuk ke arah yang lurus dan baik jika orang dewasa, ulama, guru dan ibu bapa sering menghampiri mereka. Minda dan daya pemikiran mereka yang kurang matang memudahkan mereka tergelincir dalam kancah maksiat dan dosa. Maka ketika ini, orang-orang dewasa perlu memainkan peranan untuk membimbing dan mengasuh remaja supaya mereka mampu menggunakan akal ketika menghadapi saat genting dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Oleh itu, perjuangan utama umat Islam masa kini adalah menghampiri remaja dan menjelaskan kepada mereka erti kehidupan dan matlamat kehidupan mereka di dunia. Melalui kesedaran dan penjelasan berkaitan dengan kerohanian sahaja, maka umat Islam dapat memelihara remaja supaya tidak terumbang-ambing dalam arus globalisasi.

Mengambil berat terhadap remaja dan masyarakat merupakan Fardu Ain kepada umat Islam yang memiliki ilmu wahyu dan fardu kifayah kepada keseluruhan umat Islam. Setiap umat Islam akan dipersoalkan oleh Allah berhubung kait dengan tanggungjawab mereka terhadap remaja dan masyarakat.

Perkara berkaitan dengan permasalahan remaja dan masyarakat hanya dapat diatasi melalui kerjasama di antara semua umat Islam. Apabila wujud pelbagai permasalahan di kalangan remaja, umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Sikap kerjasama dan prihatin masyarakat terhadap remaja adalah senjata utama untuk memelihara remaja daripada terjerumus ke kancah kehancuran.

Remaja merupakan pemangkin kepada masa depan negara dan agama. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya sentiasa mendampingi remaja dan membimbing mereka menjadi orang yang berwawasan dan mempunyai semangat waja. Baginda meletakkan harapan yang tinggi kepada remaja dengan sabdanya yang bermaksud: "Sebaik-baik remaja ialah orang yang mengisi masa mudanya dengan melakukan kebajikan dan kebaikan".

Berdasarkan konteks masa kini, maka umat Islam yang mempunyai ilmu wahyu sepatutnya mempergiatkan kegiatan dakwah kerana keadaan dan gelombang globalisasi dan gejala-gejala negatif begitu aktif menular masuk ke negara ini. Suasana begini tidak mungkin dapat ditangkis oleh remaja Islam. Oleh itu, fahamilah jiwa dan dilema remaja dan kasihanilah mereka dengan menggerakkan semangat berdakwah di kalangan remaja.

Elakkan persengketaan sesama umat supaya struktur sosial masyarakat dapat dibentuk dan remaja Islam hidup dalam arus perpaduan dan kasih sayang. Permusuhan sesama umat tidak akan memberi sebarang faedah kepada umat Islam. Ideologi politik perlu ada batas supaya kepentingan agama dan bangsa tidak terjejas. Oleh itu, semarakkan semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Continue lendo >>






  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo