Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan

Rabu, 19 Oktober 2011

Buat Ayah Bunda


Alhamdulillah
syukur kepada Allah
mengenali mereka, diriku sungguh bertuah
indah sungguh rencana Allah

Begitulah takdir Ilahi
Susuk ini terlebih dahulu kukenali
di saat belum kutemui
malah belum kukenali
selepas Allah dan Rasul, siapa gerangan pemilik hati

Kedatangan mereka yang mendamaikan
Mengundang bersama keberkahan
KepadaNya kupanjatkan kesyukuran
Atas ni'matNya yang tiada pengakhiran

Walau begitu singkat pertemuan
silaturrahim dua keluarga dijalinkan
Walau berbeza antara sempadan
Namun kerana agama tiada halangan

Ayah dan Bunda
Anakanda doakan
walaupun diri ini dari kejauhan
moga Ayah Bunda dikurnia ketabahan
kesembuhan dan kesihatan
ketenangan dan kebahagiaan
yang berpanjangan dan berkekalan

Terima kasih buat Ayah Bunda
Menerima diriku yang entah siapa
menjadi bahagian dari keluarga
mengamanahkanku mutiara berharga
Anugerah Allah yang sungguh istimewa.


p/s : Semoga Ayah segera diberi kesembuhan dan semoga Bunda tetap tegar. Perkenankanlah ya Allah. Amin.

Continue lendo >>

Rabu, 10 Ogos 2011

Barokah Ramadhan


Ya Allah!
Telah berlalu fasa pertama Ramadhan
Bulan yang Kau janjikan
penuh keberkahan
maka dengan rahmatMu
berkatilah hamba-hambaMu ini
sucikanlah hati kami
tingkatkanlah iman dan taqwa kami

Temukanlah kami
Lailatulqadr Mu
Malam yang lebih baik dari 1000 bulan
Sesungguhnya tiada daya upaya kami
melainkan semuanya
dengan izinMu Ilahi

Dengan rahmat dan kasih sayangMu,
Kasihanilah hamba-hambaMu ini,
Perkenankanlah doa-doa hambaMu
Sesungguhnya Kau Maha Mendengar
lagi Maha Mengerti.
Amin.



Continue lendo >>

Jumaat, 29 Julai 2011

شوقاً لك يا رمضان


Semoga kita diberi kesempatan lagi untuk menerima kunjungan tetamu mulia ini. Bersama merebut segala tenaga positif yang dijanjikan di dalamnya dengan penuh mujahadah. Semoga Madrasah Ramadhan yang bakal ditempuhi menjadikan kita insan yang bertaqwa dan diredhai di sisinya. Buat semua, maafkan segala kesalahanku. Moga Ramadhan ini akan ditempuhi dengan hati yang suci lagi murni.Amin.





Continue lendo >>

Khamis, 21 Julai 2011

~ Quranic Law of Attraction ~



Suatu hari....

Hajat di hati menghadirinya, sebenarnya ingin mendengar, menuntut ilmu...tapi diriku pula yang dipinta mengisinya...Baiklah kucuba laksanakan amanah apa yang termampu...

Lalu mulalah otak berputar mencari idea...Alhamdulillah Dia Yang Menunjukkan jalan, kuterus mencapai buku yang masih belum selesai kubaca, Quranic Law of Attraction oleh Saudara Rusdin S.Rauf !


*********

Apakah yang dimaksudkan dengan Quranic Law of Attraction atau terjemahannya Hukum Tarikan Al-Quran ? Hmm mungkin ada yang pernah mendengar atau membaca...mungkin juga ada yang pernah mendengar Law of Attraction sahaja...atau mungkin juga antara kita yang tidak pernah mendengarnya sama sekali.

Sebenarnya dalam kehidupan kita, wujud suatu hukum dipanggil Hukum Tarikan ! Perkara positif akan menarik perkara positif, manakala perkara negatif juga akan menarik perkara negatif ! Begitu juga minda kita. Apabila minda kita memandang sesuatu perkara dari sisi positifnya, maka perkara positiflah yang akan menghampiri kita dan begitu juga sebaliknya.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang ingin berjaya dalam peperiksaannya hendaklah dia berfikir dan fokus terhadap usaha dan kejayaannya. Dia tidak boleh berfikir ...takut sekiranya gagal, atau ragu-ragu dengan kemampuannya. Begitu juga dengan contoh2 lain yang sering berlaku dalam kehidupan kita seharian.

Al-Quran adalah sebaik-baik panduan kehidupan. Di dalam Al-Quran, terdapat pusat-pusat tenaga yang saling berkait rapat. Pusat-pusat tenaga itu adalah DOA, SYUKUR dan SABAR. Ketiga-tiga pusat tenaga ini mestilah saling lengkap melengkapi dan tidak boleh ditinggalkan walaupun salah satu daripadanya.

Berikut adalah cara-cara untuk memanfaatkan ketiga-tiga pusat tenaga tersebut.

1) Mengetahui apa sebenarnya yang kita inginkan dan fokus terhadap apa yang dicita-citakan. Tanya diri dan catat.

Contohnya apabila seseorang ingin menyelesaikan sesuatu pekerjaan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Dia hendaklah fokus terhadap apa yang diinginkan sahaja. Jangan sesekali memikirkan apa yang terjadi sekiranya tidak selesai, atau ragu-ragu bahawa pekerjaan itu boleh atau tidak diselesaikan kerana jika itu yang difikirkan maka dia sebenarnya menarik kegagalan itu menghampiri bukan kejayaan.

2) Teruskan berdoa, berdoa dan terus berdoa samada tika senang mahupun sukar. Usah sombong dan bongkak terhadap Allah !

3) Apabila berdoa, tanamkan sekuatnya tujuan doa. Curahkan seluruh perasaan, bersikap tenang.

4) Hilangkan segala keraguan dan usah bersikap atau berfikir negatif.

5) Hidupkan syukur di dalam hati. Sesungguhnya amat banyak nikmat Allah ke atas diri kita yang seringkali kita alpa dalam mensyukurinya. Bersikap positiflah! Yakinlah ! Rasakanlah dan rebutlah ! Di samping itu, dampingilah Al-Quran kerana Al-Quran sebenarnya bertindak balas terhadap apa yang kita inginkan dengan izin Allah.

6) Gunakan tenaga sabar ! Tidak semestinya kita akan memperoleh sesuatu yang kita hajati dalam tempoh yang singkat. Bersabarlah, bersangka baiklah dan yakinlah ! Sesungguhnya Allah ingin menguji kesabaran kita.

Juga disarankan, apabila menghadapi sesuatu masalah atau musibah, bukalah Al-Quran secara rambang setelah menuluskan niat, berdoa dan bersikap tenang. Setelah membukanya, lihatlah dan bacalah dengan tenang serta nikmati makna bicara Tuhan itu. Renungkanlah sedalam-dalamnya... Insya Allah ketenangan akan ditemui, bahkan boleh jadi jalan penyelesaian diperolehi. CUBALAH ! :)



** FOR THINGS TO CHANGE, I MUST CHANGE FIRST ! **


Continue lendo >>

Jumaat, 1 Julai 2011

Kembara Juang !




Sepurnama sudah ku di sini,

Meninggalkan seketika ' tugas hakiki '

Kerna ada tanggungjawab yang lebih hakiki

Berkatilah diriku duhai Rabbi.


Beradanya aku di sini,

Bersama lingkungan yang Kau cintai

Alunan kalam Mu menenangkan hati

Izinkan hambaMu menumpang barokah ini.


Bagi mereka yang kutinggalkan

Buat sementara menanggung beban

Maafkan diriku duhai teman

Mudahan kalian diberi pertolongan.


Kembara ini juga kembara perjuangan

Doakan diriku bisa menyelesaikan

Biar pulangku berhati lapang

Tugas yang bakal bertambah bisa dilaksanakan.


Allahumma Amin!

Continue lendo >>

Ahad, 22 Mei 2011

ULAMA' PERMATA UMMAH


Saat Berharga Bersama Mereka ...


Ya Allah, kurniakanlah hamba-hambaMu yang mencintai agamaMu ini samada mereka yang sempat hadir dan menyertai Majlis Ilmu ini mahupun yang tidak sempat menghadirinya, keampunan, keberkatan dan rahmatMu...

Kurniakanlah kami kefahaman untuk memahami di sebalik setiap butir bicara yang mengandungi hikmah-hikmahMu...

Mudahan dengan rahmat dan kasih sayangMu, bert
ambahlah keimanan dan ketaqwaan hamba-hambaMu...

Lantas, kian membara semangat juang dalam mempertahankan agamaMu...





Antara gambar yang sempat dirakam dari dekat...Terima kasih Suamiku :)


Gandingan 2 tokoh yang mantap dan tetap tegar dalam meneruskan risalah Baginda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam; Dr. Syeikh Wahbah Az-Zuhaili dan Dr. Zulkifli Al-Bakri. Semoga Allah merahmati mereka berdua dan digolongkan bersama Kekasih-kekasih yang diredhaiNya.Amin.




Sementara menunggu Suami ketika ingin pulang, sempat juga Ibtihaj merakamkan suasana saat-saat akhir sebelum berangkatnya Dr. Syeikh Wahbah Az-Zuhaili...Terima kasih padaMu Ya Allah kerana masih memperkenankan telinga, mata dan hati kami untuk mendengar kalimah haqMu melalui lidah utusanMu dan ulama' pewaris RasulMu. Pada saat dunia yang dihimpit pelbagai fitnah, hanya padaMu kami berserah. Peliharalah kami dan tunjukilah kami jalan yang benar dan bukan jalan mereka yang sesat. Amin.



Continue lendo >>

Jumaat, 1 April 2011

Episod Rindu



" Ummu Baro' " Seungkap nama yang amat dirindui tertera pada skrin telefon bimbit.

Terkejut dengan panggilan yang dirindui dari Bumi Anbiya' !

" Assalamu'alaikum! "

" Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh! Kaifa haluki ya Ummu Baro'? "

" Nahnu Alhamdulillah bikhair! Wa kaifa haluki ? Asytaqna laki! "

" Alhamdulillah ana bikhair! Wa ana musytaqah lakum akthar! "

" Wallaahi nuhibbuki fillah ! Allah yajma'una fil jannah! "

" Allahumma amin! .....................

...................................................

...................................................

Subhanallah! Alhamdulillah! Betapa bahagianya hati Ibtihaj apabila mendapat panggilan Beliau yang amat berjasa mendidik diri ini. Ilmu Al-Quran diajar tanpa jemu. Walaupun kaki ini telah lama meninggalkan Bumi Anbiya' itu, tetapi Subhanallah! Kerana Allah, hati kami masih berpaut! Kerana Allah kami berasa amat rindu ! Walaupun tiada pertalian darah, namun hati kami masih bersatu !

Sungguh diriku merindukan saat-saat itu!
Bersama mereka diri dan jiwa menjadi tenang walaupun kesibukan sentiasa memburu!

Kerinduan demi kerinduan silih berganti!
Sungguh kerinduan itu amat pahit bagi yang mengerti...
Seringkali kerinduan bertandang menguji diri...

Ya Allah! usah Kau biarkan diriku sendiri
Janganlah kerinduan-kerinduan ini melebihi rinduku padaMU Ilahi!





Continue lendo >>

Ahad, 27 Mac 2011

Istikharah penuh pasrah...

Istikharah dilakukan bagi memohon bantuan Allah menunjukkan jalan penyelesaian ketika seseorang itu berada dalam keadaan keliru ataupunperlu memilih salah satu antara dua atau pelbagai pilihan dalam kehidupan.

Istikharah tidak terhad dilakukan dalam urusan memilih jodoh contohnya apabila datang dua atau lebih lamaran bagi seorang gadis mahupun teruna malah istikharah juga wajar dilakukan dalam apa sahaja perkara malah sebelum seseorang itu dihadiri lamaran lagi! Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran, graduan yang ingin mencari peluang pekerjaan, sarjana yang ingin mencari tajuk penyelidikan, calon peperiksaan yang akan menjalani peperiksaan malah urusan pembelian kenderaan mahupun rumah sebagai tempat perlindungan semuanya wajar melalui proses istikharah terlebih dahulu!


Hal ini sebagaimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam :

Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.


Namun, adakalanya bagi mereka yang telah melakukan istikharah ini, seringkali belum bertemu jawapan. Kesangsian belum bertemu jawapan, permasalahan belum bertemu penyelesaian. Mengapa hal ini berlaku ?

Hakikatnya istikharah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keredhaan.Solat sunat 2 rakaat yang dilakukan dengan penuh khusyu' dan tawadhu'. Bukan sahaja gerak geri anggota yang hadir malah kehadiran hati turut penting. Apabila beristikharah, pastikan hati dikosongkan dari segala kecenderungan diri yang mengikut hawa nafsu. Usah ragu-ragu dengan ketentuan Allah dan berserahlah kepadanya dengan penyerahan yang sepenuhnya. Awas! Jika di sana ada keraguan ataupun kecondongan, jawapan yang bakal kita terima hakikatnya bukanlah dari Allah sebaliknya dari kelemahan diri dan menurut hawa nafsu!
Redhalah dan pasrahlah akan setiap ketentuanNya walaupun jawapan yang bakal diterima bercanggah dengan kehendak sendiri ! Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik terhadap hamba-hambaNya ?!Di sinilah keimanan kita diuji!

Bagaimana pula bentuk jawapan yang akan diperoleh ? Banyak sekali yang memperkatakan tentang mimpi! Tetapi mengapa hingga sekarang saya belum bermimpi ? Inilah antara persoalan-persoalan yang kerap ditanya.

Sebenarnya, jawapan istikharah ini tidak semestinya hadir dalam bentuk mimpi. Allah Maha Bijaksana telah membekalkan manusia dengan akal dan hati yang mampu berfikir dan menghayati akan petunjuk-petunjukNya. Adakalanya, hasil istikharah ini ditunjukkan melalui urusan-urusan yang asalnya sulit, namun dimudahkanNya. Urusan yang kelihatannya mustahil tapi menjadi keajaiban pula! Hati yang dahulunya resah gelisah kini menjadi tenang kerana yakin akan janji-janjiNya. Faktor persekitaran seperti ahli keluarga, sanak saudara, guru-guru, rakan-rakan pula seakan-akan menyerlahkan sokongan tidak kira apa jua bentuknya sama ada fizikal, mental mahupun spiritual.Usah terkejut kerana faktor-faktor ini boleh jadi sebagai perantaraan petunjuk dariNya.

Namun, sekiranya belum berhasil, usah berputus asa. Sekiranya jalan penyelesaian masih kabur, terus dan lipat gandakan usaha! Mungkinkah hati yang tebal dibaluti noda, menyebabkan sukar mengundang hidayahNya?! Maka beristighfarlah memohon ampun dan bertaubatlah dengan sebenar-benarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui akan setiap yang zahir dan tersembunyi.

Atau mungkinkah di jiwa, masih ada setitik noktah keraguan terhadapNya? Maka hapuskanlah keraguan kepada Allah yang Maha Belas dan Maha Mengasihani hamba-hambaNya. Berbaik sangkalah terhadap Allah walau sedahsyat manapun ujian menimpa kerana ada kebarangkalian jika belum bertemu jawapan, ada yang lebih baik di sisiNya. Bersabarlah dan bermujahadahlah! Sebenarnya DIA ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya !

Sesungguhnya amat beruntunglah bagi mereka yang bersabar dan tetap hatinya!
Sesungguhnya amat rugilah bagi mereka yang menzalimi dirinya!







Continue lendo >>

Jumaat, 28 Januari 2011

Umat Islam 2030...?!

Sambil memandu kereta ke tempat berkhidmat, pagi tadi yang penuh barakah...dengan ditemani DJ Radio Ikim, Ibtihaj mendapat satu info dari berita yang disampaikan.

Pada tahun 2030 ( kurang daripada 20 tahun dari sekarang! ), umat Islam seluruh dunia dijangka akan semakin bertambah. Pertambahannya mengatasi pertambahan bilangan penganut agama2 lain (non-muslim)! Kalau tidak silap, sekali ganda banyaknya! SubhanaLah! Dalam hati, Ibtihaj melahirkan kesyukuran dalam masa yang sama meng'amin'kan walaupun ia hanya satu kajian penyelidikan yang barangkali benar atau salah. Antara faktor pertambahan ini adalah faktor bilangan keluarga umat Islam yang bertambah dan kebangkitan para pemuda.

Tiba di destinasi, Ibtihaj terus membuka PC dan cuba mencari maklumat. Tidak bertemu bahan dalam bahasa Melayu, Ibtihaj langsung menekan huruf-huruf " increasing of muslim in 2030 ". Lalu bertemulah...( sila klik http://www.voanews.com/english/news/religion/Study-Muslims-to-Make-Up-Fourth-of-Worlds-Population-by-2030-114750164.html )

Tiba-tiba terlintas di hati...

1) Walaupun kajian ini hanya kajian manusia yang pasti ada cacat celanya , namun tidak salah kita mendoakan agar ia akan benar-benar terjadi malah mudahan lebih banyak dari yang dijangka dengan izin Allah! Pastinya ini menggambarkan keindahan Islam sebagai satu-satunya agama yang benar2 sesuai dengan fitrah manusia walaupun masyarakat dunia sering dimomok-momokkan seperti dalam isu islamophobia, terorisme dan sebagainya.

2) Berita atau kajian ini dikeluarkan oleh pihak Barat, ada kebarangkalian kajian ini sengaja untuk membakar semangat 'non-muslim' terutama Yahudi dan Kristian agar semakin bergerak menyampaikan dakyah mereka! Sementara umat Islam akan berasa seperti dalam zon selesa! Ini bahaya ! Benar-banar bahaya !!!

3) Jika benar insya Allah, timbul persoalan di benak " apakah sumbangan diri ini dalam memastikan ianya berlaku ? Biarlah yang benar-benar terjadi lebih hebat daripada yang dijangka! Alangkah ruginya diri jika tiada sumbangan yang diberikan ! "

4) Satu lagi yang menjadi kebimbangan di hati Ibtihaj...bimbangnya jika terjadi sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mafhumnya....umat Islam pada akhir zaman nanti ibarat buih di lautan.........begitu banyak kuantitinya , namun begitu lemah kualitinya! Na'udzu billahi min dzalik ! Mg Allah menjauhkan kita semua daripada tergolong dalam golongan ini!


Benar atau tidak kajian ini bukan suatu yang perlu diperdebatkan! Perkara yang lebih utama adalah TINDAKAN KITA SEMUA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH DI MUKA BUMI! Terlalu banyak medan kita untuk menyemai bakti ! Usah hanya berpeluk tubuh ! Sampai waktu ajal menjemput, bersediakah kita dengan bekalan diri ?!

Continue lendo >>

Isnin, 24 Januari 2011

Apabila yang haram menjadi kemestian ...

Kisah benar yang disunting...:)
Pada suatu hari, di sebuah lokasi misteri, pada hari yang dijanji ...

AB : CD, kami ni runsing betul...kawan2 semua dah ber'makwe' 'pakwe'...pantang berbual, topik yang ditanya mesti ada kena mengena..." awak ni belum ada sesiapa lg ke? "takkan la gadis comel lote macam awak ni takde sesiapa yg berkenan...?"

EF : Ha a la CD...lebih2 lagi ada yg guna macam2 hujah...konfius juga dibuatnya!

GH : Mana taknya...ada yang menjadikan kata tokoh2 tertentu sebagai hujah...tidak ketinggalan ada pensyarah yang menggalakkan...mereka ni bukan calang-calang orang CD...

CD : Cuba terangkan bagaimana hujah yang dikatakan ?

EF : Hmm...ada yg bercerita tentang kisah mereka sebelum berkahwin la...ada yang asyik menyuruh kami mencari pasangan ketika di universiti...bimbang peluang tiada apabila selesai belajar nanti...

GH : Kadang2 tergugat juga perasaan kami ni CD...apatah lagi suasana dan orang-orang di sekitar kami sudah mula terjerat dan seakan-akan ingin menjerat kami sekali...

CD : Beginilah AB, EF, GH...CD bukanlah yang selayaknya utk berdebat dlm perkara ni. Tetapi apa yg CD pegang dan yakin, ALLAH adalah segalanya! Tidak yakinkah kita dengan janjiNya ?!Ragu-ragukah kita dengan ketentuannya?! Apakah kita mesti mengikut arus semasa meskipun kita akur kelemahan diri ? Kuat benarkah kita apabila sengaja terjun ke dalam jurang...yang berisiko tinggi menghanyutkan kita ?!

AB : Apa yang mesti kami lakukan CD ?

CD : CD faham...memang ini fitrah kita sebagai manusia. Fitrah ini tidak dapat ditolak dan disangkal...namun, kita sebagai seorang yang mengaku muslim atau muslimah , tidak boleh sama seperti orang lain. Kita mesti ada 'izzah diri sebagai seorang muslim! Kita lain dari yang lain! Tidak semestinya apa yang dilalui oleh kebanyakan orang itulah yang betul...Yakinlah bahawa Allah adalah segala2nya. Dia ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya...Sampai satu ketika, ujian itu juga menguji kita redhakah kita pd setiap aturanNYA?! Ya Allah, percayalah...apabila kita bersabar dan bersabar...berfikiran positif terhadapNya dan redha akan apa sahaja ketentuannya, pada saat itu kita akan merasakan kasih sayangNYA yang begitu mencurah-curah...Bersabarlah demi meraih redhaNya!

CD melanjutkan bicaranya, ada air yang bergenang di kolam matanya...

CD : Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya! Berdoalah dan beristikharahlah...mudahan petunjuknya sentiasa mengiringi setiap langkah kita. Buat masa ini, kita persiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan bekalan. Cintailah ilmu, hiasilah diri dengan akhlak mulia, sertailah para pejuang agama...Agar kelak apabila tiba2 kamu didatangi anugerah yang tidak disangka2, mudah sahaja jalannya! :)

AB,EF,GH menganggukkan kepala. Ada kepuasan terpancar, ada kekusutan yang terlerai, ada semangat yang membara...Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu tetap benar dan perlihatkanlah kami yang batil itu tetap batil. AMIN.

Continue lendo >>

Khamis, 9 Disember 2010

Maal Hijrah: PACE ajak berazam bebaskan al-Quds

THURSDAY, 02 DECEMBER 2010 16:27 TM LIM


KUALA LUMPUR - Menjelang detik tahun baru hijrah beberapa hari lagi, Pusat Kecemerlangan Palestin atau PACE mengajak umat Islam mengenang kembali sejarah perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin khususnya bumi al-Quds, masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza yang terkepung sekarang.

Pada saat jutaan umat Islam mungkin bersiap sedia untuk meluahkan azam 1 Muharam 1432 Hijrah bagi memperbaiki pencapaian peribadi masing-masing, kira-kira dua juta penduduk Gaza sedang berjuang hanya untuk dua kemungkinan - hidup atau mati. Semuanya gara-gara penindasan, serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel sejak 64 tahun lalu.
"Bagi mereka, tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh dalam diri setiap umat Palestin," demikian mesej yang dicoretkan oleh Pengarah PACE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam perutusan Maal Hijrahnya.

Tambah beliau, azam pejuang Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Zionis tidak pernah luntur. Mereka terus berjihad sekalipun ramai pemimpin negara umat Islam belot dan bersekongkol dengan musuh.

"Setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera keempat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan Zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin.

"Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, negara kuasa besar bahkan rejim-rejim negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika?" soal beliau.

Inilah inspirasi yang patut diambil daripada kecekalan jihad umat Palestin. Meskipun mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera yang disokong oleh golongan Ahzab moden, 50% anak-anak Gaza menderita kekurangan zat makanan, ramai yang tidak bersekolah kerana sekolah-sekolah dibom dan alat tulis disekat daripada dibawa masuk ke Gaza, namun mereka tidak pernah putus pergantungan kepada Allah.

Difahamkan Israel mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat bernilai hampir USD3 bilion setahun dalam bentuk pelbagai senjata canggih.
Di sebalik segala ketidakadilan ini, kata Dr Hafidzi, umat Islam Palestin tidak jemu-jemu membina generasi pelapis yang menjadi hufaz (orang-orang yang menghafaz al-Quran) dan mengamalkan ajarannya. Pada musim panas lalu mereka berjaya melahirkan 30,000 hufaz cilik lelaki dan perempuan.

Tambahnya, peristiwa Hijrah bukan sekadar sejarah tetapi petunjuk kepada kemenangan yang besar. Hijrah Rasulullah didahului dengan pemulauan ke atas umat Islam selama tiga tahun, diikuti dengan kematian dua insan yang banyak membantu baginda iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah. Dakwah baginda di Taif juga ditolak keras malah baginda dilontar dengan batu.

Ketika suasana dukacita itulah Allah memperjalankan baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ke al -Aqsa dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Sekembalinya ke dunia, baginda melakukan pertemuan demi pertemuan dengan penduduk Yathrib hinggalah baginda berhijrah ke Madinah dan memimpin umat Islam di sana.

"Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa Hijrah adalah satu jaminan daripada Allah bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi rejim haram itu daripada kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah sallallahu alaihi wasallam gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah," tegas Dr Hafidzi lagi.

"Peranan kita umat Islam pula ialah meletakkan satu azam untuk bersama dalam jihad mempertahankan tanah suci ini. Peruntukkanlah sebahagian daripada penghasilan kita untuk perjuangan pembebasan al-Quds.
"Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin," beliau mengakhiri perutusannya dengan mafhum sebuah hadis.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/33-nasional/536-pace-ajak-azam-bebaskan-al-quds

Continue lendo >>

Isnin, 11 Oktober 2010

Syawal yang Terakhir ...


Al Fatihah buat Arwah Nendaku, Hj Mohd Aris b. Shafie yang telah meninggalkan kami pada 28 Syawal 1431H yang lalu. Semoga Allah mengampunkan segala dosa serta menempatkan Beliau bersama hamba-hamba yang diredhai dan dikasihiNya.


(( اللهم اغفِرْ له وعافِه واعْفُ عنْه ))

Amin


Continue lendo >>






  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo