Khamis, 9 Disember 2010

Maal Hijrah: PACE ajak berazam bebaskan al-Quds

THURSDAY, 02 DECEMBER 2010 16:27 TM LIM


KUALA LUMPUR - Menjelang detik tahun baru hijrah beberapa hari lagi, Pusat Kecemerlangan Palestin atau PACE mengajak umat Islam mengenang kembali sejarah perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin khususnya bumi al-Quds, masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza yang terkepung sekarang.

Pada saat jutaan umat Islam mungkin bersiap sedia untuk meluahkan azam 1 Muharam 1432 Hijrah bagi memperbaiki pencapaian peribadi masing-masing, kira-kira dua juta penduduk Gaza sedang berjuang hanya untuk dua kemungkinan - hidup atau mati. Semuanya gara-gara penindasan, serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel sejak 64 tahun lalu.
"Bagi mereka, tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh dalam diri setiap umat Palestin," demikian mesej yang dicoretkan oleh Pengarah PACE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam perutusan Maal Hijrahnya.

Tambah beliau, azam pejuang Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Zionis tidak pernah luntur. Mereka terus berjihad sekalipun ramai pemimpin negara umat Islam belot dan bersekongkol dengan musuh.

"Setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera keempat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan Zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin.

"Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, negara kuasa besar bahkan rejim-rejim negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika?" soal beliau.

Inilah inspirasi yang patut diambil daripada kecekalan jihad umat Palestin. Meskipun mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera yang disokong oleh golongan Ahzab moden, 50% anak-anak Gaza menderita kekurangan zat makanan, ramai yang tidak bersekolah kerana sekolah-sekolah dibom dan alat tulis disekat daripada dibawa masuk ke Gaza, namun mereka tidak pernah putus pergantungan kepada Allah.

Difahamkan Israel mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat bernilai hampir USD3 bilion setahun dalam bentuk pelbagai senjata canggih.
Di sebalik segala ketidakadilan ini, kata Dr Hafidzi, umat Islam Palestin tidak jemu-jemu membina generasi pelapis yang menjadi hufaz (orang-orang yang menghafaz al-Quran) dan mengamalkan ajarannya. Pada musim panas lalu mereka berjaya melahirkan 30,000 hufaz cilik lelaki dan perempuan.

Tambahnya, peristiwa Hijrah bukan sekadar sejarah tetapi petunjuk kepada kemenangan yang besar. Hijrah Rasulullah didahului dengan pemulauan ke atas umat Islam selama tiga tahun, diikuti dengan kematian dua insan yang banyak membantu baginda iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah. Dakwah baginda di Taif juga ditolak keras malah baginda dilontar dengan batu.

Ketika suasana dukacita itulah Allah memperjalankan baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ke al -Aqsa dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Sekembalinya ke dunia, baginda melakukan pertemuan demi pertemuan dengan penduduk Yathrib hinggalah baginda berhijrah ke Madinah dan memimpin umat Islam di sana.

"Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa Hijrah adalah satu jaminan daripada Allah bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi rejim haram itu daripada kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah sallallahu alaihi wasallam gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah," tegas Dr Hafidzi lagi.

"Peranan kita umat Islam pula ialah meletakkan satu azam untuk bersama dalam jihad mempertahankan tanah suci ini. Peruntukkanlah sebahagian daripada penghasilan kita untuk perjuangan pembebasan al-Quds.
"Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin," beliau mengakhiri perutusannya dengan mafhum sebuah hadis.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/33-nasional/536-pace-ajak-azam-bebaskan-al-quds

0 ulasan:

Catat Ulasan

  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo