Rabu, 10 Ogos 2011
Jumaat, 29 Julai 2011
شوقاً لك يا رمضان

Jumaat, 1 Julai 2011
Kembara Juang !

Sepurnama sudah ku di sini,
Meninggalkan seketika ' tugas hakiki '
Kerna ada tanggungjawab yang lebih hakiki
Berkatilah diriku duhai Rabbi.
Beradanya aku di sini,
Bersama lingkungan yang Kau cintai
Alunan kalam Mu menenangkan hati
Izinkan hambaMu menumpang barokah ini.
Bagi mereka yang kutinggalkan
Buat sementara menanggung beban
Maafkan diriku duhai teman
Mudahan kalian diberi pertolongan.
Kembara ini juga kembara perjuangan
Doakan diriku bisa menyelesaikan
Biar pulangku berhati lapang
Tugas yang bakal bertambah bisa dilaksanakan.
Allahumma Amin!
Ahad, 27 Mac 2011
Istikharah penuh pasrah...
Istikharah dilakukan bagi memohon bantuan Allah menunjukkan jalan penyelesaian ketika seseorang itu berada dalam keadaan keliru ataupunperlu memilih salah satu antara dua atau pelbagai pilihan dalam kehidupan.
Istikharah tidak terhad dilakukan dalam urusan memilih jodoh contohnya apabila datang dua atau lebih lamaran bagi seorang gadis mahupun teruna malah istikharah juga wajar dilakukan dalam apa sahaja perkara malah sebelum seseorang itu dihadiri lamaran lagi! Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran, graduan yang ingin mencari peluang pekerjaan, sarjana yang ingin mencari tajuk penyelidikan, calon peperiksaan yang akan menjalani peperiksaan malah urusan pembelian kenderaan mahupun rumah sebagai tempat perlindungan semuanya wajar melalui proses istikharah terlebih dahulu!
Hal ini sebagaimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam :
Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
Namun, adakalanya bagi mereka yang telah melakukan istikharah ini, seringkali belum bertemu jawapan. Kesangsian belum bertemu jawapan, permasalahan belum bertemu penyelesaian. Mengapa hal ini berlaku ?
Hakikatnya istikharah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keredhaan.Solat sunat 2 rakaat yang dilakukan dengan penuh khusyu' dan tawadhu'. Bukan sahaja gerak geri anggota yang hadir malah kehadiran hati turut penting. Apabila beristikharah, pastikan hati dikosongkan dari segala kecenderungan diri yang mengikut hawa nafsu. Usah ragu-ragu dengan ketentuan Allah dan berserahlah kepadanya dengan penyerahan yang sepenuhnya. Awas! Jika di sana ada keraguan ataupun kecondongan, jawapan yang bakal kita terima hakikatnya bukanlah dari Allah sebaliknya dari kelemahan diri dan menurut hawa nafsu!
Redhalah dan pasrahlah akan setiap ketentuanNya walaupun jawapan yang bakal diterima bercanggah dengan kehendak sendiri ! Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik terhadap hamba-hambaNya ?!Di sinilah keimanan kita diuji!
Bagaimana pula bentuk jawapan yang akan diperoleh ? Banyak sekali yang memperkatakan tentang mimpi! Tetapi mengapa hingga sekarang saya belum bermimpi ? Inilah antara persoalan-persoalan yang kerap ditanya.
Sebenarnya, jawapan istikharah ini tidak semestinya hadir dalam bentuk mimpi. Allah Maha Bijaksana telah membekalkan manusia dengan akal dan hati yang mampu berfikir dan menghayati akan petunjuk-petunjukNya. Adakalanya, hasil istikharah ini ditunjukkan melalui urusan-urusan yang asalnya sulit, namun dimudahkanNya. Urusan yang kelihatannya mustahil tapi menjadi keajaiban pula! Hati yang dahulunya resah gelisah kini menjadi tenang kerana yakin akan janji-janjiNya. Faktor persekitaran seperti ahli keluarga, sanak saudara, guru-guru, rakan-rakan pula seakan-akan menyerlahkan sokongan tidak kira apa jua bentuknya sama ada fizikal, mental mahupun spiritual.Usah terkejut kerana faktor-faktor ini boleh jadi sebagai perantaraan petunjuk dariNya.
Namun, sekiranya belum berhasil, usah berputus asa. Sekiranya jalan penyelesaian masih kabur, terus dan lipat gandakan usaha! Mungkinkah hati yang tebal dibaluti noda, menyebabkan sukar mengundang hidayahNya?! Maka beristighfarlah memohon ampun dan bertaubatlah dengan sebenar-benarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui akan setiap yang zahir dan tersembunyi.
Atau mungkinkah di jiwa, masih ada setitik noktah keraguan terhadapNya? Maka hapuskanlah keraguan kepada Allah yang Maha Belas dan Maha Mengasihani hamba-hambaNya. Berbaik sangkalah terhadap Allah walau sedahsyat manapun ujian menimpa kerana ada kebarangkalian jika belum bertemu jawapan, ada yang lebih baik di sisiNya. Bersabarlah dan bermujahadahlah! Sebenarnya DIA ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya !
Sesungguhnya amat beruntunglah bagi mereka yang bersabar dan tetap hatinya!
Sesungguhnya amat rugilah bagi mereka yang menzalimi dirinya!

Continue lendo >>
Khamis, 10 Mac 2011
Himmah Membina Ummah
H.I.M.M.A.H ........
Rabu, 9 Februari 2011
Meneladani Ato' bin Abi Rabah ...
Kita kurang sekali didedahkan dengan kisah tokoh-tokoh yang begitu banyak tercatat di lebaran sejarah Islam. Tidak banyak nama2 yang kita boleh senaraikan di kalangan Tabi'in apatah lagi Tabi' Tabi'in walhal mereka merupakan peribadi2 agung yang wajar dijadikan contoh. Sedikit perkongsian pengisian usrah ...
Isnin, 24 Januari 2011
Apabila yang haram menjadi kemestian ...
Kisah benar yang disunting...:)
Pada suatu hari, di sebuah lokasi misteri, pada hari yang dijanji ...
AB : CD, kami ni runsing betul...kawan2 semua dah ber'makwe' 'pakwe'...pantang berbual, topik yang ditanya mesti ada kena mengena..." awak ni belum ada sesiapa lg ke? "takkan la gadis comel lote macam awak ni takde sesiapa yg berkenan...?"
EF : Ha a la CD...lebih2 lagi ada yg guna macam2 hujah...konfius juga dibuatnya!
GH : Mana taknya...ada yang menjadikan kata tokoh2 tertentu sebagai hujah...tidak ketinggalan ada pensyarah yang menggalakkan...mereka ni bukan calang-calang orang CD...
CD : Cuba terangkan bagaimana hujah yang dikatakan ?
EF : Hmm...ada yg bercerita tentang kisah mereka sebelum berkahwin la...ada yang asyik menyuruh kami mencari pasangan ketika di universiti...bimbang peluang tiada apabila selesai belajar nanti...
GH : Kadang2 tergugat juga perasaan kami ni CD...apatah lagi suasana dan orang-orang di sekitar kami sudah mula terjerat dan seakan-akan ingin menjerat kami sekali...
CD : Beginilah AB, EF, GH...CD bukanlah yang selayaknya utk berdebat dlm perkara ni. Tetapi apa yg CD pegang dan yakin, ALLAH adalah segalanya! Tidak yakinkah kita dengan janjiNya ?!Ragu-ragukah kita dengan ketentuannya?! Apakah kita mesti mengikut arus semasa meskipun kita akur kelemahan diri ? Kuat benarkah kita apabila sengaja terjun ke dalam jurang...yang berisiko tinggi menghanyutkan kita ?!
AB : Apa yang mesti kami lakukan CD ?
CD : CD faham...memang ini fitrah kita sebagai manusia. Fitrah ini tidak dapat ditolak dan disangkal...namun, kita sebagai seorang yang mengaku muslim atau muslimah , tidak boleh sama seperti orang lain. Kita mesti ada 'izzah diri sebagai seorang muslim! Kita lain dari yang lain! Tidak semestinya apa yang dilalui oleh kebanyakan orang itulah yang betul...Yakinlah bahawa Allah adalah segala2nya. Dia ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya...Sampai satu ketika, ujian itu juga menguji kita redhakah kita pd setiap aturanNYA?! Ya Allah, percayalah...apabila kita bersabar dan bersabar...berfikiran positif terhadapNya dan redha akan apa sahaja ketentuannya, pada saat itu kita akan merasakan kasih sayangNYA yang begitu mencurah-curah...Bersabarlah demi meraih redhaNya!
CD melanjutkan bicaranya, ada air yang bergenang di kolam matanya...
CD : Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya! Berdoalah dan beristikharahlah...mudahan petunjuknya sentiasa mengiringi setiap langkah kita. Buat masa ini, kita persiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan bekalan. Cintailah ilmu, hiasilah diri dengan akhlak mulia, sertailah para pejuang agama...Agar kelak apabila tiba2 kamu didatangi anugerah yang tidak disangka2, mudah sahaja jalannya! :)
AB,EF,GH menganggukkan kepala. Ada kepuasan terpancar, ada kekusutan yang terlerai, ada semangat yang membara...Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu tetap benar dan perlihatkanlah kami yang batil itu tetap batil. AMIN.
Khamis, 9 Disember 2010
Maal Hijrah: PACE ajak berazam bebaskan al-Quds
THURSDAY, 02 DECEMBER 2010 16:27 TM LIM
KUALA LUMPUR - Menjelang detik tahun baru hijrah beberapa hari lagi, Pusat Kecemerlangan Palestin atau PACE mengajak umat Islam mengenang kembali sejarah perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin khususnya bumi al-Quds, masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza yang terkepung sekarang.
Pada saat jutaan umat Islam mungkin bersiap sedia untuk meluahkan azam 1 Muharam 1432 Hijrah bagi memperbaiki pencapaian peribadi masing-masing, kira-kira dua juta penduduk Gaza sedang berjuang hanya untuk dua kemungkinan - hidup atau mati. Semuanya gara-gara penindasan, serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel sejak 64 tahun lalu.
"Bagi mereka, tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh dalam diri setiap umat Palestin," demikian mesej yang dicoretkan oleh Pengarah PACE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam perutusan Maal Hijrahnya.
Tambah beliau, azam pejuang Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Zionis tidak pernah luntur. Mereka terus berjihad sekalipun ramai pemimpin negara umat Islam belot dan bersekongkol dengan musuh.
"Setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera keempat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan Zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin.
"Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, negara kuasa besar bahkan rejim-rejim negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika?" soal beliau.
Inilah inspirasi yang patut diambil daripada kecekalan jihad umat Palestin. Meskipun mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera yang disokong oleh golongan Ahzab moden, 50% anak-anak Gaza menderita kekurangan zat makanan, ramai yang tidak bersekolah kerana sekolah-sekolah dibom dan alat tulis disekat daripada dibawa masuk ke Gaza, namun mereka tidak pernah putus pergantungan kepada Allah.
Difahamkan Israel mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat bernilai hampir USD3 bilion setahun dalam bentuk pelbagai senjata canggih.
Di sebalik segala ketidakadilan ini, kata Dr Hafidzi, umat Islam Palestin tidak jemu-jemu membina generasi pelapis yang menjadi hufaz (orang-orang yang menghafaz al-Quran) dan mengamalkan ajarannya. Pada musim panas lalu mereka berjaya melahirkan 30,000 hufaz cilik lelaki dan perempuan.
Tambahnya, peristiwa Hijrah bukan sekadar sejarah tetapi petunjuk kepada kemenangan yang besar. Hijrah Rasulullah didahului dengan pemulauan ke atas umat Islam selama tiga tahun, diikuti dengan kematian dua insan yang banyak membantu baginda iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah. Dakwah baginda di Taif juga ditolak keras malah baginda dilontar dengan batu.
Ketika suasana dukacita itulah Allah memperjalankan baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ke al -Aqsa dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Sekembalinya ke dunia, baginda melakukan pertemuan demi pertemuan dengan penduduk Yathrib hinggalah baginda berhijrah ke Madinah dan memimpin umat Islam di sana.
"Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa Hijrah adalah satu jaminan daripada Allah bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi rejim haram itu daripada kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah sallallahu alaihi wasallam gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah," tegas Dr Hafidzi lagi.
"Peranan kita umat Islam pula ialah meletakkan satu azam untuk bersama dalam jihad mempertahankan tanah suci ini. Peruntukkanlah sebahagian daripada penghasilan kita untuk perjuangan pembebasan al-Quds.
"Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin," beliau mengakhiri perutusannya dengan mafhum sebuah hadis.
Isnin, 29 November 2010
HOW TO MAKE OUR LIFE 100% ? :)
Continue lendo >>YES! IT IS OUR ATTITUDE TOWARDS LIFE AND WORK THAT MAKES OUR LIFE 100% !!!
(( إنّ اللهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حتّى يُغَيِّرُوا مَا بِأنفُسِهِمْ ))
الرعد : 11
"Verily never will Allah change the condition of a people until they change it themselves (with their own souls)."
Khamis, 25 November 2010
Bersabarlah
Dedikasi buat srikandi yang meniti liku-liku beronar demi menyeru
manusia kepada Allah Yang Paling Mulia mendiami hatinya.
Selasa, 7 September 2010
~ SERI RAMADHAN ~
Berjayakah aku sebagai graduan dalam Madrasah Tarbiyah yang mulia ? Graduan yang tinggi keimanan dan ketaqwaannya ? Ataukah aku masih di takuk lama ?!
Menanti hari yang berbaki, menyambut Si Eidul Fitri...Kembali sucikah diri ini ? Umpama dilahirkan kembali...Bersih dari noda yang menggelapkan hati...Suci dari karat mazmumah yang merajai diri ?!
" Ya Allah, dengan seri Ramadhan yang masih KAU beri peluang kepada kami untuk menikmatinya, serikanlah kami dengan Nur Hidayah dan HikmahMU, agar dengan Hidayah dan Hikmah kurniaanMU itu, kami menjadi wasilah (perantara) bagi menyerikan jiwa hamba-hambaMU. Moga dengan seri itu, berserilah kami ketika menghadapMU. "
Continue lendo >>
Isnin, 12 Julai 2010
Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh
Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...
***************************
Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.
Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”
Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”
Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”
Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”
Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:
“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”
Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”
Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”
Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.
-Ibtihaj-
Ahad, 4 Julai 2010
NOKTAH SYUKUR...
Kelana Sang Pengembara
Kembaranya
Tiada sunyi dari onar
Tubuhnya
Diulit ribuan calar
Kepalanya
Walau berpinar
Langkah tetap disasar
Kerna pengembaraan baginya
Medan juang sebenar
Tika di persimpangan,
Dilema pengembara
Hala tuju mana pilihannya
Denai pilihan banyak manusia?
Ditaburi bungaan aneka warna...
Dihiasi nikmat indah tarikannya?
Ataukah lorong kelam
Dilitupi dedaun kering cuma?
Dihiasi kawat besi gerun kelihatannya?
Sang Pengembara
Meluruskan hati
Kukuh pada Ilahi
Lorong sepi segera disusuri
Berbaik sangka pada Ilahi
Pasti janjiNya tiada dimungkiri.
Langkah demi langkah
Cukuplah Allah segala-galanya
Mungkin jelek pada pandangan manusia
Mungkin dangkal di akal manusia
Biarlah
Asal bukan di sisi Yang Esa.
Lantas,
Hati membulat tekad,
Nafsu ditepis berpencak silat
RedhaNya semata
Sang Pengembara memurnikan hajat
Sang Pengembara akhirnya
Hampir lelah menahan kudrat
Namun,
Kekal syukur menjadi azimat
Kekal redha perawat erat
Lalu,
Rasa kerdil diri makin menghambat...
Hina diri, pada Ilahi sembah merapat
Nah!
Rupanya Sang Pengembara diuji
Andai terburu2 tewaslah dirinya!
Kejutan tidak mampu dijangka
RencanaNya nyata bijaksana
JanjiNya segera dilaksana!
Syukur Sang Pengembara
mengalir deras tiada henti
Indah aturan Pencipta
Mempesona jiwa
Kerdil jiwa seorang hamba
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Segala Puji hanya bagi Allah
Moga Sang Pengembara
dikurnia kekuatan
melaksanakan ketaatan,
meninggalkan kejahatan,
menyeru kebaikan,
mencegah kemungkaran...
Anugerah yang sukar diungkap
Moga Sang Pengembara sentiasa SYUKUR!
Dipelihara dari FUJUR
Mahupun KUFUR
Menerus kembara ke Alam Kubur
Sungguh tiada noktah bagi SYUKUR
Moga Istiqamah sentiasa dilabur
Selamat diri daripada FUTUR!
Nukilan Sukma,
Ibtihaj
Selasa, 20 April 2010
Awas Pencuri!

Ibtihaj tertarik dengan lukisan yg ditemui ketika 'surfing'.
Moga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk memelihara iman yang hanyalah senipis kulit bawang. Ya Allah bantulah hamba2MU dalam menunaikan IKRAR yg saban hari dilafazkan (( إنّ صلاتي ونُسُكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين ))..SESUNGGUHNYA SOLATKU, IBADAHKU, HIDUPKU dan MATIKU adalah KERANA ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM...
Khamis, 15 April 2010
( إصلاح الجوهر أولاً ( 2
"... Kebangkitan yang terpimpin dalam dunia wanita memenuhi ruang hatiku dan akalku, jiwaku, perasaanku dan fikiranku.Kebimbanganku terhadapnya umpama kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya. Beliau memelihara anak itu sehingga dewasa, berjanji memeliharanya hingga anak itu dewasa perkasa, mengharungi kesukaran tanpa tersungkur...menghadapi kesusahan setelah memagari dirinya.
Oleh sebab keghairahanku terhadap kebangkitan yang diberkati ini, aku bimbang terhadap gejala2 yang merosakkannya, faktor2 yg melemahkannya dan membawanya kepada 'wahn' ( cintakan dunia ). Aku suka melihatnya sentiasa teguh, berkibar gemilang, tetap dalam langkah dan diiringi kemuliaan.
Apabila kudapati adanya faktor2 yg melemahkan, aku segera memperingatkan dan memberi amaran. Contohnya tatkala kulihat adakalanya HAL LUARAN ( مظهر ) lebih diutamakan daripada HAL DALAMAN ( جوهر ), KULIT lebih diutamakan daripada ISInya, HAL2 ranting (furu') lebih dipentingkan drpd yg USUL dan ASAS...diikuti kemudiannya kerapuhan dan bertambahnya perselisihan...lantas hati2 berpisah, menyala api kemarahan dalam jiwa2 ini. Kemudian, disusuli pula pelbagai khabar angin dan buruk sangka...SESUNGGUHNYA HAL INI TIDAKLAH AKU INGINKAN BUAT SELAMANYA!
Sebahagian para pemudi SRIKANDI yang dianugerahkan Allah bagi mereka ni'mat HIDAYAH, KETAATAN dan ILTIZAM, antara mereka ada yang sangat ekstrem dalam pemakaian dan penampilan luaran malangnya tidak mengendahkan unsur dalaman yang nyata lebih wajar dipelihara dan dijaga bahkan memerlukan kepada kesungguhan yang haqiqi.
Mengambil berat terhadap penampilan luaran sebenarnya tidaklah memerlukan kepada JUHUD yang tinggi dan ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja...walhal unsur dalaman ( jawhar ) itu memerlukan kesungguhan yang tinggi, mengambil masa bertahun-tahun lamanya hingga ia mengikut acuan orang2 yg taat kepada Allah, bekerja di jalanNYA serta berakhlak dengan akhlak Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat baginda yg mulia...
Khamis, 18 Februari 2010
Kewajipan Berda'wah ( siri akhir )
KESEIMBANGAN antara KEWAJIPAN BERDA'WAH dan urusan RUMAH TANGGA merupakan perkara yang dituntut. SERIKANDI DA'IEYAH yang peka mestilah menguruskan kehidupannya dan menyeimbangkan semua tanggungjawabnya. Beliau mestilah memperuntukkan masa yang khusus untuk kedua-duanya dan tidak mencampuradukkan urusan kedua-duanya. Bahkan, beliau hendaklah menyusun mengikut KEUTAMAAN ( AWLAWIYAT ) dan menguruskan kewajipan-kewajipan yang dituntut. Setiap peringkat itu ada keadaan dan keperluannya yang khusus. Maka SERIKANDI DA'IEYAH yang memelihara anak-anak kecil mestilah MENGUTAMAKAN penjagaan mereka sehingga anak-anak itu membesar di samping melibatkan diri dalam melaksanakan tuntutan da'wah agar setidak-tidaknya DUNIA DA'WAH tidak diabaikan keseluruhannya sepanjang tempoh penjagaan anak-anak. Sekiranya tidak, RUGILAH dirinya BUKAN setakat PENGALAMAN bahkan GANJARAN!
KITA sangat memerlukan kepada MUSLIMAH DA'IEYAH yang mengetahui KEPERLUAN UMMAH kepada da'wah. MUSLIMAH DA'IEYAH yang bersungguh-sungguh mengerah tenaganya bagi KEBANGKITAN WANITA ISLAM dan pendidikannya yang sentiasa tetap dalam AGAMAnya. MUSLIMAH yang PRIHATIN terhadap isu-isu UMMAT dan MASYARAKAT MUSLIM. KITA sangat mengharapkan SERIKANDI yang memahami PERANANNYA...mencapai ketinggian BARISAN DU'AT yang BERKERJA dan BERMUJAHADAH demi mempertahankan AGAMA yang MULIA...
(( ومن أحسن قولاً ممن دعا إلى الله وعمل صالحاً وقال إنني من المسلمين ))
Siapakah yang lebih elok kata-katanya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH dan BERAMAL SOLEH dan dia berkata " Sesungguhnya aku tergolong dalam golongan yang menyerah diri...
p/s : Inilah antara kata-kata nasihat ASY SYAHIDAH ZAINAB al-GHAZALI...apa pula nasihat selanjutnya...?- bersambung -
YA ALLAH golongkanlah kami dalam golongan HAMBA-HAMBAMU yang KAU REDHAI...








