Ahad, 27 Mac 2011

Istikharah penuh pasrah...

Istikharah dilakukan bagi memohon bantuan Allah menunjukkan jalan penyelesaian ketika seseorang itu berada dalam keadaan keliru ataupunperlu memilih salah satu antara dua atau pelbagai pilihan dalam kehidupan.

Istikharah tidak terhad dilakukan dalam urusan memilih jodoh contohnya apabila datang dua atau lebih lamaran bagi seorang gadis mahupun teruna malah istikharah juga wajar dilakukan dalam apa sahaja perkara malah sebelum seseorang itu dihadiri lamaran lagi! Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran, graduan yang ingin mencari peluang pekerjaan, sarjana yang ingin mencari tajuk penyelidikan, calon peperiksaan yang akan menjalani peperiksaan malah urusan pembelian kenderaan mahupun rumah sebagai tempat perlindungan semuanya wajar melalui proses istikharah terlebih dahulu!


Hal ini sebagaimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam :

Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.


Namun, adakalanya bagi mereka yang telah melakukan istikharah ini, seringkali belum bertemu jawapan. Kesangsian belum bertemu jawapan, permasalahan belum bertemu penyelesaian. Mengapa hal ini berlaku ?

Hakikatnya istikharah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keredhaan.Solat sunat 2 rakaat yang dilakukan dengan penuh khusyu' dan tawadhu'. Bukan sahaja gerak geri anggota yang hadir malah kehadiran hati turut penting. Apabila beristikharah, pastikan hati dikosongkan dari segala kecenderungan diri yang mengikut hawa nafsu. Usah ragu-ragu dengan ketentuan Allah dan berserahlah kepadanya dengan penyerahan yang sepenuhnya. Awas! Jika di sana ada keraguan ataupun kecondongan, jawapan yang bakal kita terima hakikatnya bukanlah dari Allah sebaliknya dari kelemahan diri dan menurut hawa nafsu!
Redhalah dan pasrahlah akan setiap ketentuanNya walaupun jawapan yang bakal diterima bercanggah dengan kehendak sendiri ! Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik terhadap hamba-hambaNya ?!Di sinilah keimanan kita diuji!

Bagaimana pula bentuk jawapan yang akan diperoleh ? Banyak sekali yang memperkatakan tentang mimpi! Tetapi mengapa hingga sekarang saya belum bermimpi ? Inilah antara persoalan-persoalan yang kerap ditanya.

Sebenarnya, jawapan istikharah ini tidak semestinya hadir dalam bentuk mimpi. Allah Maha Bijaksana telah membekalkan manusia dengan akal dan hati yang mampu berfikir dan menghayati akan petunjuk-petunjukNya. Adakalanya, hasil istikharah ini ditunjukkan melalui urusan-urusan yang asalnya sulit, namun dimudahkanNya. Urusan yang kelihatannya mustahil tapi menjadi keajaiban pula! Hati yang dahulunya resah gelisah kini menjadi tenang kerana yakin akan janji-janjiNya. Faktor persekitaran seperti ahli keluarga, sanak saudara, guru-guru, rakan-rakan pula seakan-akan menyerlahkan sokongan tidak kira apa jua bentuknya sama ada fizikal, mental mahupun spiritual.Usah terkejut kerana faktor-faktor ini boleh jadi sebagai perantaraan petunjuk dariNya.

Namun, sekiranya belum berhasil, usah berputus asa. Sekiranya jalan penyelesaian masih kabur, terus dan lipat gandakan usaha! Mungkinkah hati yang tebal dibaluti noda, menyebabkan sukar mengundang hidayahNya?! Maka beristighfarlah memohon ampun dan bertaubatlah dengan sebenar-benarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui akan setiap yang zahir dan tersembunyi.

Atau mungkinkah di jiwa, masih ada setitik noktah keraguan terhadapNya? Maka hapuskanlah keraguan kepada Allah yang Maha Belas dan Maha Mengasihani hamba-hambaNya. Berbaik sangkalah terhadap Allah walau sedahsyat manapun ujian menimpa kerana ada kebarangkalian jika belum bertemu jawapan, ada yang lebih baik di sisiNya. Bersabarlah dan bermujahadahlah! Sebenarnya DIA ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya !

Sesungguhnya amat beruntunglah bagi mereka yang bersabar dan tetap hatinya!
Sesungguhnya amat rugilah bagi mereka yang menzalimi dirinya!







0 ulasan:

Catat Ulasan

  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo