Isnin, 30 Ogos 2010

APA ITU DEMONOLOGI ISLAM ???


Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan Demonologi ?


Istilah ini barangkali masih tidak pernah didengari oleh kebanyakan daripada kita. Namun, hakikatnya istilah ini sering dimuatkan dalam kamus-kamus berbahasa Inggeris antaranya The Concise Standard English Dictionary, Merriam Webster’s Collegiate Dictionary, Kamus Inggris – Indonesia dan lain-lain.


Ringkasnya, takrif demonologi ( demonology )dari segi bahasa bererti :

kajian tentang syaitan, iblis atau hantu ( study of demons ).


Namun, menurut Noam Chomsky (seorang ahli linguistik terkemuka) dalam bukunya, Pirates and Emperor : International Terrorisme in The Real World sebagaimana yang diterjemahkan oleh Hamid Basyaib dalam edisi bahasa Indonesianya, Menguak Tabir Terorisme Internasional, istilah demonologi diertikan sebagai :


“ perekayasaan sistematis untuk menempatkan sesuatu agar ia dipandang sebagai ancaman yang sangat menakutkan ” dan kerananya ia harus dimusuhi, dijauhi bahkan dibasmi.


Justeru, apa kaitannya dengan Islam ?!


Demonologi Islam diertikan sebagai pengkajian tentang “penyetanan Islam” atau “penghantuan Islam”! Islam digambarkan sebagai demon ( syaitan, iblis atau hantu ) yang jahat dan kejam!!!

Continue lendo >>

Selasa, 10 Ogos 2010

~ Rindu Terpendam ~





Di pintu ini
Kunantimu
Setelah sekian lama
Kupendam rindu
Masihku ingat
Tika dulu
Saat perpisahan bertamu
Ku janji tidak akan persiakanmu
Kini...
Ku masih menantimu
Masih sudikah dirimu...
Bertamu dalam diari hidupku ?
Bahkan...
Masih sempatkah aku menikmatimu...?

Nukilan Sukma,
Ibtihaj





" Madrasah Tarbiyah yang bakal dilalui moga disambut dengan kebeningan hati, kesucian jiwa dan ketulusan nurani. Moga kehadiran Sang Ramadhan yang dinanti, membentuk diri menjadi hambaNYA yang semakin mengerti syukur, moga karat mazmumah kian lebur...AMIN. "





### SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN! RAMADHAN KAREEM! Ibtihaj mohon mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran baik pada kata-kata mahupun perbuatan kepada yang mengenali secara langsung mahupun tidak, khususnya kepada ANUGERAHNYA yang pertama kali menemaniku pada Ramadhan ini, ahli keluargaku, sahabat-sahabat seperjuanganku dan seluruh saudaraku ikhwah dan akhawat...Semoga segala amalan kita diterima dan diredhaiNYA...Amin ###

Continue lendo >>

Rabu, 4 Ogos 2010

MAKA BERSABARLAH WAHAI DA'IEYAH...

Hanya melalui kata-kata
membaralah keazaman
terpancar saluran-saluran kenikmatan
terbitlah cahaya pedoman
dan terukirlah senyuman
tersebar kelahiran yang gemilang
tangkas kian bertambah
menghadapi badai mendatang...

Tahukah kalian kata-kata apakah itu ?
Itu kata-kata syukur dan pujian
Kata-kata kritis yang bermisi
Lontaran-lontaran cambahan fikiran
Sesungguhnya
Itulah kata-kata peransang dan sokongan...

Benarlah !
yang paling memerlukan kata-kata ini adalah Da'ieyah...
Usah kalian sangka dia tidak memerlukannya...
Tidak demi Tuhan!
Bahkan dialah yang paling memerlukannya !

Mafhum sabda Baginda 'Alaihis Salam dalam hadithnya...
Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia,
maka dia tidak berterima kasih kepada Allah ( Riwayat Tirmizi )
Nah, mengapa kalian bersikap bakhil untuk berterima kasih ?
Malahan kalian menemukan dengan sangkaan-sangkaan yang memedihkan,
kezaliman dan kehinaan.

Serikandi yang dikasihi,
Serikandi Da'ieyah itu
yang gigih menyampaikan ilmu,
memanfaatkan kebaikan, waktu, harta dan kesihatan
berjaga dan menghidupkan malamnya
berusaha menghafaz Kitab Allah
mengarang rencana
mereka kad-kad berisi peringatan
atau penyebar risalah-risalah zikrullah...

.
.
.

Sehinggalah apabila
jika dirinya lemah
setelah tersebar pancaran dan sinaran jasanya
dipejamkan matanya
lalu bermulalah dialog dalam dirinya
menilai kembali ( muhasabah )
perkara-perkara yang belum sempurna haknya
menanggung beban yang bukan miliknya
fikirnya pada apa yang bakal dihadapi pada hari-hari mendatang.

Mulalah berkata pada dirinya
Aku mesti lebih banyak menghafaz Kitab Allah
lebih banyak mempelajari ilmu-ilmu syari'ah
Aku mesti berkreativiti dalam berda'wah
Aku mesti menghapuskan sempadan
dan tangan-tangan berinovasi mesti ku eratkan
dan mesti kucari mereka yang alpa
untuk kuseru mereka
bersama-sama menaiki bahtera
menuju tempat kembali...
Benarlah ! Semestinya aku tidak mengendahkan
Kata-kata berisi kekecewaan
Semestinya ku balas keburukan dengan kebaikan
Aku mesti menghulurkan senyuman dan bersikap optimis
dan semestinya ku abaikan kesilapan-kesilapan dan kepedihan...


...bersambung....

*** Terjemahan yang pastinya punya kekurangan namun diharap dapat dimanfaatkan ***



Continue lendo >>

Isnin, 12 Julai 2010

Sebarkan Benih-benih Kebaikan...Suatu Hari Pasti kan Tumbuh

Ibtihaj ingin berkongsi sebuah artikel yang telah lama ditemui dalam Bahasa Arab. Artikel yg agak menyentuh hati ini, Ibtihaj terjemahkan buat dikongsi manfaatnya...


***************************



Suatu ketika dahulu, aku telah berbual bersama seorang guru wanita yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengajarkan anak - anak remaja tentang adab dan akhlak. Beliau bukanlah seorang guru biasa, bahkan seorang insan yang mempunyai misi dan motivasi yang tinggi.

Ketika berbual - bual tentang isu - isu berkaitan remaja khususnya para puteri dan langkah mendekati serta memperbaiki akhlak mereka, beliau berkata :
“Masalahnya wahai sahabatku, kita sememangnya telah berusaha untuk menyemai biji - biji benih, menanam dan menyiram biji-biji benih itu…malangnya, apabila bunga - bunga kita itu semakin membesar, ia terdedah dengan persekitaran sekelilingnya. Persekitaran yang ganas dan gersang tidak memungkinkan bunga-bunga itu tumbuh mekar di padang pasir yang kontang. Maka, akhirnya ‘bunga-bunga’ yang kita tanam, semai dan siram itu layu dan musnah. Mereka menjadi bebas setelah keluar dari rumah dan alam persekolahan. Mereka kehilangan guru - guru yang membimbing dan menjadi contoh serta kehilangan sahabat - sahabat yang solehah. Maka, mulalah anasir - anasir lain mempengaruhinya sedikit demi sedikit…”

Suaranya bergetar kesedihan :
“Adakalanya ku rasakan segala usahaku selama ini tidak berfaedah! Syaitan berbisik kepadaku dan mengatakan bahawa segala usaha kita selama ini sia - sia belaka terutamanya pada zaman kini yang dilandai pelbagai tribulasi dan fitnah. Aku merasakan semangatku makin luntur dan diriku kian lemah…”

Aku tersenyum dan berkata :
“ Tidak wahai sahabatku…Usah dibiarkan putus asa menguasai segenap urat sendimu… Sesungguhnya setiap benih kebaikan itu walaupun panjang tempoh waktu pertumbuhannya dan luruh dedaunnya pastinya ia tidak akan mati dengan izin Allah, dan suatu hari nanti pasti ia akan tumbuh kembali… Maka usahlah bersedih. Perkara paling penting adalah peranan kita menanamkan sifat tanggungjawab dalam diri para puteri kita agar dia dengan sendirinya mampu berjalan di atas landasan kebenaran dan tidak menunggu rakan-rakan atau sanak saudara mahupun ibunya untuk menggerakkan dan menyedarkan dirinya. Kita tanamkan kekuatan dalam diri puteri-puteri ini untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba dengan berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Kita ingatkan mereka tentang tentangan musuh - musuh agama ini.”

Kemudian, aku berkata kepadanya :“ Aku akan menceritakan kepadamu sebuah kisah yang akan menjadi azimat bagimu: Suatu ketika dahulu, aku mengajar di sebuah sekolah. Para pelajar puteriku ketika itu amat sibuk dengan kehidupan mereka. Mereka bukanlah anak-anak yang jahat, tetapi kesibukan mereka menyebabkan mereka sangat jauh daripada Allah. Aku telah cuba untuk menasihatkan, bersungguh-sungguh berbincang dan berusaha untuk mempengaruhi mereka namun hanya segelintir yang dapat menerima dan memahaminya…Selepas beberapa tahun aku meninggalkan sekolah itu, suatu hari aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon salah seorang daripada mereka.Dia tidak menyangka bahawa akhirnya dia telah berhasil menghubungiku dengan 1001 kepayahan. Kedengaran suaranya yang begitu gembira : “ Ustazah, saya sudah letih bertanyakan dan menghubungi rakan-rakan. Saya berusaha mencari nombor - nombor mereka dan juga menghubungi pihak pejabat sekolah. Saya telah bersusah payah demi mencari dan menjejaki ustazah. Saya benar - benar tidak menyangka bahawa sekarang saya sedang berbual dengan ustazah!!!”

Sesungguhnya aku sangat rindu akan puteri - puteri yang aku didik sewaktu mereka kecil…Anak - anak yang nakal, tidak mengendahkan kata - kataku mahupun nasihatku. Mereka yang selalu ponteng kelas dan asyik bergelak tawa ketika belajar! Tidak kusangka salah seorang puteriku kini merupakan penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti. Alangkah pantas masa berlalu. Puteriku meneruskan kata-katanya:

“ Adakah ustazah masih ingat kata - kata dan nasihat ustazah kepada kami? Ustazah pernah mengingatkan kami tentang Hari Pembalasan dan Hari Akhirat. Adakah ustazah masih ingat bagaimana kelakuan dan sorak-sorai kami? Adakah ustazah percaya bahawa kata - kata ustazah itu telah berjaya menembus ke dalam hati saya? Tetapi tika itu, saya tewas dengan bisikan syaitan. Begitu juga rakan - rakan yang lain...Pada waktu itu, saya berlagak seolah - olah tidak ingin mengambil tahu dan mengambil berat tentang hal - hal sedemikian…namun kini saya telah dewasa dan matang. Sehingga kini masih terngiang - ngiang di telinga saya, kata-kata nasihat dan dorongan ustazah. Sedikit demi sedikit kata – kata mutiara dan nasihat - nasihat ustazah berjaya melenturkan hati saya. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ustazah. Sungguh saya telah terkesan dengan ustazah. Begitu juga kebanyakan rakan -rakan yang lain…”

Aku benar-benar terkejut dengan kata-katanya. Aku seakan-akan tidak percaya. Lidahku kelu untuk berbicara. Aku terkesima. Tidak pernah kubayangkan bahawa benih-benih kebaikan yang kecil cuma mampu bertahan lama sebelum ia tumbuh subur kembali! Subhanallah! Maha Suci Allah! Benarkah ini terjadi?! Alhamdulillah! Aku benar-benar gembira. Aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan perjuanganku ini walaupun kudapati para puteri kini di dalam kelalaian dan kelekaan yang amat dahsyat…”

Sahabatku begitu kagum mendengar kisahku, kataku padanya :
“ Tidakkah kamu nampak? Usah biarkan bisikan syaitan melemahkan dan menggagalkan kamu. Usah berputus asa! Sebarkanlah benih-benih kebaikan walau di mana kamu berada dan usah ragu….Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah benih-benih itu akan tumbuh…”

Terjemahan dan ubahsuai dari Majalah Hayah Bil 84, Rabiul Thani 1428H.


-Ibtihaj-

Continue lendo >>

Rabu, 7 Julai 2010

MURABBI BUKAN SELEBRITI !

alfaqir_ilallah: salam ziarah... lama tak update.. akhirnya, baru ana mengerti siapa tuan blog ni.. Puzzle tercantum!

Rais: Penasaran dengan pemilik blog ini. Siapakah gerangan Saudari Ibtihaj ini?

affan: ehem2, cik HAJAR n cik wardah, ana kira ana jga knl blogger nie...

H A J A R: ehem2, cik wardah,,saya pun knl juga blogger ni,,org yg sangat dekat dgn kita=)

wardah: salam..ehem2 mcm knal blogger ni =)


*******

Untuk menjawab teka-teki di atas, Ibtihaj tercari-cari apakah jawapan yang sesuai bagi meluahkan apa yang bersarang dalam hati. Subhanallah, ketika membaca buku "Nota Hati Seorang Lelaki" oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi, hadiah seorang sahabat, Ibtihaj menemui Nota ke-35 : Kau Murabbi Bukan Selebriti!

Memetik antara kata-kata yang mendalam maknanya :
" Jangan menulis 'diri' sendiri. Orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang orang lain. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri. "

" Pendakwah atau penulis, mesti mengetengahkan prinsip da'wah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. "

" Pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti! "

*****

Walaubagaimanapun, Ibtihaj hanyalah seorang manusia biasa yang dalam usaha memperbaiki dirinya. Dalam usaha itu, ada tanggungjawab sebagai hamba yang mesti dilaksanakannya!

Continue lendo >>

Ahad, 4 Julai 2010

NOKTAH SYUKUR...

Kelana Sang Pengembara
Kembaranya
Tiada sunyi dari onar
Tubuhnya
Diulit ribuan calar
Kepalanya
Walau berpinar
Langkah tetap disasar
Kerna pengembaraan baginya
Medan juang sebenar

Tika di persimpangan,
Dilema pengembara
Hala tuju mana pilihannya
Denai pilihan banyak manusia?
Ditaburi bungaan aneka warna...
Dihiasi nikmat indah tarikannya?
Ataukah lorong kelam
Dilitupi dedaun kering cuma?
Dihiasi kawat besi gerun kelihatannya?

Sang Pengembara
Meluruskan hati
Kukuh pada Ilahi
Lorong sepi segera disusuri
Berbaik sangka pada Ilahi
Pasti janjiNya tiada dimungkiri.

Langkah demi langkah
Cukuplah Allah segala-galanya
Mungkin jelek pada pandangan manusia
Mungkin dangkal di akal manusia
Biarlah
Asal bukan di sisi Yang Esa.

Lantas,
Hati membulat tekad,
Nafsu ditepis berpencak silat
RedhaNya semata
Sang Pengembara memurnikan hajat

Sang Pengembara akhirnya
Hampir lelah menahan kudrat
Namun,
Kekal syukur menjadi azimat
Kekal redha perawat erat
Lalu,
Rasa kerdil diri makin menghambat...
Hina diri, pada Ilahi sembah merapat

Nah!
Rupanya Sang Pengembara diuji
Andai terburu2 tewaslah dirinya!
Kejutan tidak mampu dijangka
RencanaNya nyata bijaksana
JanjiNya segera dilaksana!

Syukur Sang Pengembara
mengalir deras tiada henti
Indah aturan Pencipta
Mempesona jiwa
Kerdil jiwa seorang hamba

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Segala Puji hanya bagi Allah
Moga Sang Pengembara
dikurnia kekuatan
melaksanakan ketaatan,
meninggalkan kejahatan,
menyeru kebaikan,
mencegah kemungkaran...

Anugerah yang sukar diungkap
Moga Sang Pengembara sentiasa SYUKUR!
Dipelihara dari FUJUR
Mahupun KUFUR
Menerus kembara ke Alam Kubur
Sungguh tiada noktah bagi SYUKUR
Moga Istiqamah sentiasa dilabur
Selamat diri daripada FUTUR!





Nukilan Sukma,
Ibtihaj

Continue lendo >>

Selasa, 20 April 2010

Awas Pencuri!




Ibtihaj tertarik dengan lukisan yg ditemui ketika 'surfing'.

Moga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk memelihara iman yang hanyalah senipis kulit bawang. Ya Allah bantulah hamba2MU dalam menunaikan IKRAR yg saban hari dilafazkan (( إنّ صلاتي ونُسُكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين ))..SESUNGGUHNYA SOLATKU, IBADAHKU, HIDUPKU dan MATIKU adalah KERANA ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM...

Continue lendo >>






  ©***~ BAHJATUL ISLAM... بهجة الإسلام ~*** - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo